Ada Apa Dengan Ikhwanul Muslimin 4



Setelah terbongkarnya tembelang dan hakikat sebenar pergerakan pertubuhan ini, pasti tidak salah jika dipanggil dan diberi gelaran Ikhwanul Muflisin lantaran mereka kekeringan dari berbagai-bagai ilmu syariat terutamanya akidah tauhid. Istilah ini dipinjam dari gelaran yang diberikan oleh seorang ulama dari Yaman Syeikh Mukbil rahimahullah sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau:

"Mereka adalah Ikhwanul Muflisin bukan Ikhwanul Muslimin".

Memang ada yang mengatakan bahawa suara sebegini datangnya dari orang yang tidak memiliki adab terhadap ulama. Apakah yang dikatakan ulama itu kerana kuat fiqahnya atau kerana menjadi ikutan umat akidahnya? Atau kerana kebenaran dakwahnya?

Malangnya setelah kematian Hasan al-Banna hampir semua perbuatan bid'ah yang pernah beliau ceburi telah diteruskan oleh tokoh-tokoh dalam jamaah dan pentaqlid buta yang ghulu kepadanya. Hakikat ini telah digambarkan dan diakui oleh Abdurrahman al-Banna:

"Apabila menjelang anak bulan Rabi'ul Awal, kami berjalan beramai-ramai dalam satu perarakan setiap malam, sehinggalah kemalam 12 Rabi'ul Awal. Kami mendendangkan qasidah puji-pujian untuk Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

"Kekasih ini (Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam) bersama para sahabat telah tiba (hadir) # Dia mengampunkan segala dosa yang telah berlalu dan yang akan datang".
(Lihat: Hasan al-Banna bi Aqlami Talamizatihi Hlm. 71-72.)


Hasan al-Banna membolehkan seseorang berdoa atau bertawassul (berperantaraan) kepada kuburan, menyeru roh wali yang dikeramatkan, berperantara dengan orang yang telah mati terutamanya berperantaraan dengan para syeikh-syeikh sufi yang dianggap sebagai orang suci. Hasan al-Banna tidak pernah menarik semula (tidak pernah membatalkan) atau memansuhkan fatwa-fatwanya, antara fatwa beliau:

"Berdoa apabila disertai dengan bertawassul kepada Allah dengan makhlukNya (yang telah mati), maka yang demikian adalah furu'iyah dalam tata cara berdoa, bukan termasuk dalam masalah akidah".
(Lihat: Usul Isyrin, Perkara ke l5 Hasan al-Banna. Nazarat Fi Risalah at-Ta'lim. Hlm.177 Muhammad Abdullah al-Khatib & Muhammad Abdul Hamid.)

Malah Hasan al-Banna mempertahankan kesufiannya sehingga ke akhir hayatnya sebagaimana yang dijelaskan oleh Abul Hasan an-Nadwi rahimahullah:

"Malah (Hasan al-Banna masih dalam kesufian) sehinggalah keakhir hayatnya, sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Abul Hasan an-Nadwi di dalam kitabnya (Tafsir as-Siasi Lil Islam)".
(Lihat: Hakikatu ad-Dakwah Ilallahi Ta'ala. Hlm. 86 Saied bin Abdulrahman al-Husin.)

Ketahuilah bahawa matlamat dan tujuan Hasan al-Banna mendirikan pertubuhan Ikhwanul Muslimin semata-mata untuk merealisasikan tariqat kesufian sebagaimana pengikrarannya!:

"Dakwah salafiyah, jalan sunnah dan hakikat (kenyataannya) adalah sufiyah".
(Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wad-Daiyah. Hlm. 10. Hasan al-Banna.)

Beliau telah membuat pengakuan:

"Sesungguhnya dakwah Ikhwanul Muslimin adalah dakwah Salafiyah, mengikut sunnah (tetapi) hakikatnya sufiyah dengan berdasarkan gaya politik".
(Lihat: Majmu'ah ar-Rasail al-Imam al-Banna, hlm. 122. Lihat: Nadarat fil Manhaj Ikhwanul Muslimin hlm. 27.)

Comments